Nurliza Yaakob, 36, hanya bergantung kepada kerja membuat kuih secara kecil-kecilan terpaksa berjimat cermat kerana pada masa sama terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan.

Kesusuhan hidup ibu tunggal ini mendapat perhatian Kelab Volenteer I Care (VIC) yang tampil bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sekadar yang mampu.

Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, wanita itu buntu memikirkan masa depan dia dan dua anaknya yang berusia dua serta 11 tahun, tambahan dia sendiri mempunyai masalah kesihatan yang melibatkan tulang belakang.

“Saya meluangkan masa mengunjungi keluarga ini selepas dimaklumkan mengenai penderitaan wanita berkenaan.

“Menurut ibu tunggal ini, pembedahan untuk tulang belakangnya akan dibuat dalam tempoh terdekat namun dia masih dalam dilema terhadap pelbagai kemungkinan termasuk pengurusan hidup dua anaknya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Afiq berkata, pihaknya sekadar mampu membantu membekalkan barangan dapur dan membeli susu untuk anaknya.

“Semoga akan ada jalan penyelesaian untuk mereka sekeluarga termasuk ihsan orang ramai untuk meringankan bebanan mereka.

“Anaknya yang berumur 11 tahun turut mendapat wang saku sebanyak RM5 setiap hari hasil sumbangan kelab guru dan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar,” katanya.

Mereka yang sudi membantu boleh menghubungi urusetia VIC di talian 0199344077. - UTUSAN ONLINE