Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, HPPNK menjadi tapak informasi kepada pengunjung yang berminat untuk menceburi sektor pertanian.

Beliau berkata, pengunjung pasti akan berpuas hati dengan khidmat lebih 40 agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengintai peluang dalam dunia keusahawanan berasaskan pertanian.

"Beratus ekor lembu pelbagai baka dipamerkan pastinya menjana minat pengunjung untuk membela baka baharu yang menjanjikan pulangan yang tinggi.

"Saya meninjau kesemua gerai pemeran termasuk gerai jualan yang berkaitan hari ini dan berpuas hati kerana banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dipelajari oleh pengunjung," katanya ketika ditemui di lokasi HPPNK, dekat sini, petang ini.

Tuan Saripuddin berkata, program yang berlangsung selama empat hari itu turut menjana pendapatan kepada penduduk setempat dan pemilik kebun di negeri ini menjalankan perniagaan anak benih dan buah-buahan.

Menurutnya, pengunjung akan lebih ramai mulai esok apabila bermulanya pelbagai acara menarik seperti pertandingan ketangkasan beruk memetik kelapa, pertandingan ikan gupi cantik dan sebagainya.

"Di tapak lokasi ini juga seminar pelbagai bidang pertanian akan diadakan di pentas utama untuk mendedahkan pelbagai bidang pertanian yang boleh diusahakan dalam menjana ekonomi pengusahanya," katanya.

Perasmian HPPNK akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub pagi esok dengan pelbagai aktiviti riadah termasuk kayuhan santai sejauh 35 kilometer serta beberapa acara sukan rakyat di sekitar pantai berkenaan. - UTUSAN ONLINE