Seramai 300 peserta daripada pelbagai kaum dan pelajar sekolah terbabit dalam larian yang dirasmikan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin itu.

Presidennya, Mok Yee Ken berkata, kelab itu menganjurkan larian amal sejauh enam kilometer kerana bersimpati dengan nasib hidup Orang Asli Kampung Kuala Koh yang terlibat dalam krisis kesihatan.

Katanya, mereka simpati kerana penduduk Orang Asli itu kehilangan ahli keluarga mereka dan tiada punca perbelanjaan tetap.

“Kelab Lions berasa bertanggungjawab untuk tampil membantu dan mengumpul dana menerusi aktiviti berfaedah.

“Kita akan menganjurkan lebih banyak aktiviti amal selepas ini yang disertai masyarakat setempat dan pelbagai peringkat umur supaya dana yang dikumpul dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Larian Amal, di Bandar Utama, di sini, hari ini.

Yee Ken berkata, setakat ini juga sudah banyak program kebajikan diadakan kelab yang ditubuhkan sejak tahun 1983 itu.

Katanya, mereka membantu pihak kurang bernasib baik dan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis mengadakan kempen keselamatan jalan raya, pencegahan dadah serta projek alam sekitar.

Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, larian amal anjuran Kelab Lions itu menjadi contoh terbaik dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, larian itu bukan sahaja untuk kesihatan, tetapi juga dapat mengumpul dana bagi membantu masyarakat dalam kesusahan seperti kaum Orang Asli terbabit.

Katanya, krisis kesihatan yang menimpa Orang Asli kampung berkenaan tiga bulan lalu membawa kepada tekanan hidup mereka.

“Ini merupakan satu platform untuk warga Gua Musang berkumpul, beramah mesra, beramal dan menyihatkan tubuh badan.

“Jika ada bantuan berterusan untuk kaum terbabit dapat mengurangkan bebanan kerana mereka juga terhad untuk mencari sumber pendapatan di hutan," katanya. - UTUSAN ONLINE