Menerusi program berkenaan, sebanyak 55 ekor lembu hasil sumbangan pelbagai pihak dikorbankan sejak hari raya pertama Aidiladha, Ahad lalu.

Sebanyak 20 ekor lembu dikorbankan pada Ahad lalu, manakala hari ini sebanyak 35 ekor lembu lagi dikorbankan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman berkata, program korban perdana kali ini adalah yang terbesar pernah diadakan.

Katanya, program itu dianjurkan Maik sendiri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pada kali ini sumbangan lembu terbanyak ialah dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur iaitu sebanyak 30 ekor manakala Maik pula sebanyak 12 ekor.

“Selain itu, turut menyumbang lembu ialah Masjid Abu Bakar Al-Sidiq Bangsar sebanyak lapan ekor, Jakoa tiga ekor, dan masing-masing seekor daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan seekor daripada individu perseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ibadat Korban Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis, di sini, hari ini.

Zulkifle berkata, lebih uniknya program itu disertai kaum Orang Asli sendiri yang diberi tangggungjawab menyembelih, melapah dan memproses daging sebelum diagihkan sesama mereka.

Katanya, tujuan Maik untuk mengadakan program itu ialah untuk melatih Orang Asli melakukan ibadah korban dan menikmati suasana Hari Raya Aidiladha.

“Program ini mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat setempat termasuk penduduk Orang Asli daripada Kampung Sungai Rual, Jeli.

“Kita akan terus melatih Orang Asli yang berketurunan Temiar, Bateq, Jahai dan Mendriq dalam mengerjakan ibadah korban yang turut dibantu oleh guru agama Maik sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli suku kaum Jahai dari Kampung Sungai Ruai, Jeli, Abdul Rashid Bernas, 40, berkata, setiap tahun dia bersama rakan-rakan menyertai program Korban Perdana.

Katanya, Orang Asli semakin berilmu dalam menjalankan ibadah korban apabila terdapat dalam kalangan mereka sudah pandai menyembelih dan melapah daging lembu.

“Di samping dapat makan daging korban, kita juga dapat mengeratkan hubungan antara suku kaum Orang Asli.

“Apabila semuanya sudah tahu dan pandai mengerjakan ibadat korban itu, maka tahun akan datang kita boleh melakukannya sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE