Makam milik Wan Hassan dan seorang hulubalangnya itu sebelum ini ditanda dengan nama Kubur Tok Kuda bertempat di Kampung Pulong, Kubang Kerian dan mengikut catatan sejarah, mereka dikebumikan sekitar 1832.

Proses mengalihkan makam yang mempunyai empat batu nisan dilakukan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula pukul 10 hingga 11 pagi ini dengan dipantau Pegawai Hal Ehwal Imarah Masjid, Roslee Ismail.

Setiausaha Pertubuhan Kerabat Datuk Lundang Kelantan (PKDLK), Long Muhammad Wan Mohd. Noor berkata, kubur itu terpaksa dipindahkan selepas pihaknya mengetahui sejarahnya menerusi manuskrip Hikayat Datuk Lela Seri Paduka Raja 1989.

Menurutnya, Kubur Tok Kuda yang berusia 187 tahun itu akhirnya dapat bersatu bersama kaum kerabat lain yang mempunyai pertalian keluarga dengan Datuk Lundang di Perkuburan Surau Lundang.

“Kedua-dua makam ini dipindahkan selepas kaum kerabat mereka berusaha mencarinya dengan kerjasama MAIK,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, langkah itu turut diambil kerana tapak perkuburan sedia ada adalah tanah milik persendirian penduduk kampung.

Lokasi tersebut tidak jauh dengan Istana Mahkota, tempat bersemayam Sultan Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad V sekarang.

“Berdasarkan maklumat kedua-dua mereka ini meninggal dunia selepas bertempur dengan tentera Siam satu ketika dahulu.

“Malah kita juga difahamkan Wan Hasan pernah mencari ayahnya (Wan Ahmad) yang meninggal dunia lebih awal dan kuburnya terletak di perkarangan Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang,” katanya. - UTUSAN ONLINE