Anak ketiga dari lima beradik itu dikesan mengalami penyakit buah pinggang ketika berusia setahun lebih selepas dia menunjukkan tanda-tanda seperti kerap demam, berat badan naik, mata bengkak serta perut buncit.

Ibunya, Yuraini Che Wani ,42, berkata, penyakit buah pinggang yang dihidapi Luqman kini sudah berada di tahap lima dan dia terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menjalani proses mencuci darah tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Sepanjang tempoh itu, dia telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak dua kali selain badannya juga sudah ditebuk beberapa kali untuk memasukkan tiub bagi rawatan itu.

“Sekarang ini, kedua-dua buah pinggangnya sudah rosak serta jantungnya juga semakin mengecil. Selepas ini, dia perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan besi di kedua-dua belah kakinya kerana dia menghadapi kesukaran untuk bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.

Terdahulu, Luqman dikunjungi Pengetua SMK Kemumin, Norriha Abd Rahman bersama beberapa guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan untuk menyampaikan sumbangan sempena Ziarah Cakna.

Dalam pada itu, Yuraini yang merupakan pekerja kilang berkata, Luqman terpaksa menaiki bas seorang diri untuk mendapatkan rawatan hemodalisis kerana keluarga mereka tidak mempunyai kenderaan untuk menghantarnya ke hospital, selain dia dan suami perlu bekerja.

Tambahnya, selain Luqman, suaminya Fikri Yaakob, 47, turut mengalami masalah jantung tersumbat sejak enam tahun lalu dan perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan.

“Suami saya bekerja sebagai buruh, namun pendapatannya tidak menentu kerana tidak mampu membuat kerja-kerja berat. Oleh sebab itu, saya juga terpaksa bekerja bagi meringankan beban.

“Dengan keadaan kesihatannya itu, dia (suami) sepatutnya perlu menjalani pembedahan, namun terpaksa ditangguhkan demi untuk menyara keluarga serta menjaga Luqman,” katanya.

Sementara itu, Norriha berkata, pihak sekolah akan sentiasa memantau dari segi pendidikan Luqman dan abangnya Abdullah Sani,15 yang juga bersekolah di SMK Kemumin.

“Kita mahu pelajar-pelajar kita merasa dekat dengan guru dan sekolah. Oleh sebab itu, kita akan berusaha membantu dan menguruskan apa yang perlu.

“Selain itu, pihak sekolah juga akan berusaha untuk memohon biasiswa pendidikan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam bernombor 03036020519137 atas nama Fikri Yaacob atau menghubunginya di talian 017-9612342. - UTUSAN ONLINE