Hal demikian kerana meskipun diarah ditutup dan disita oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) awal bulan ini, tetapi kilang-kilang berkenaan tetap beroperasi.

Malah Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi berkata, ada penduduk yang dipukul kerana cuba mendedahkan kegiatan kilang haram itu, baru-baru ini.

Kata beliau, kilang-kilang itu beroperasi pada waktu malam sehingga pukul 7 pagi bagi mengaburi mata penduduk dan pihak berkuasa.

“Maka sebab itu, kualiti udara di Sungai Petani, khususnya pada waktu malam amat membimbangkan.

“Saya turut diugut dan laporan polis telah dibuat tetapi keadaan masih sama. Suspek yang bertindak ganas mengurung dan memukul penduduk dilepaskan selepas membayar denda RM1,500,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Lydia Ong, selain udara, kualiti air sungai di daerah ini turut terjejas dengan airnya bertukar menjadi warna hitam, berbuih, berasid dan berbau busuk.

Katanya, sungai yang terlibat adalah berhampiran Cinta Sayang Resort dan Hospital Sungai Petani di Jalan Badlishah. - UTUSAN ONLINE