Angka itu diperoleh berdasarkan pemantauan pelbagai pihak termasuk media antarabangsa dengan yang terbesar kira-kira 40 buah kilang haram hanya di Gurun sahaja.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi yang berkata, sehingga kini sebanyak 7,000 tanda tangan penduduk telah berjaya dikumpulkan untuk membantah kegiatan ini.

Katanya, turut dilakukan puluhan laporan polis dan terhadap pihak berkuasa berkaitan alam sekitar tetapi masih tidak diendahkan.

“Penduduk Sungai Petani kini bertarung nyawa antara hidup dan mati. Kami berharap kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap masa depan kami.

“Isu ini (pengimportan sisa plastik untuk dikitar semula) oleh kilang-kilang haram mengatasi ‘warna’ politik,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Lydia Ong, pada 2018 jumlah kilang haram dianggarkan 30 buah dan meningkat 100 buah pada masa kini.

Katanya, sebahagian kilang ini dipercayai berasal dari Jenjarom, Selangor setelah kerajaan negeri itu mengambil tindakan menutupnya pada tahun lalu.

“Jika di Selangor, sisa plastik untuk dikitar semula dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang tetapi di Sungai Petani, menerusi Pelabuhan Pulau Pinang,” kata beliau.

Lydia Ong mendedahkan, berdasarkan maklumat, lebih 30 peratus kes berkaitan pencemaran udara seperti sesak nafas, kegatalan kulit, sakit mata meningkat di klinik dan hospital swasta di daerah ini sejak Januari lalu sehingga kini.

“Malah turut membahayakan nyawa pesakit kencing manis dan darah tinggi kerana darah mereka menjadi lebih pekat. Kes-kes di hospital kerajaan pula terlalu banyak sehingga katil penuh dengan pesakit,” katanya. - UTUSAN ONLINE