Mohd. Fauzi Abd. Manan, 34, yang tinggal di Kuala Kedah, di sini berkata, isterinya, Normala Omar, 34, kali terakhir berada di rumah mereka pada pagi hari berkenaan ketika dia mahu keluar bekerja.

Menurutnya, ini kejadian kali kedua menimpanya selepas wanita itu turut hilang pada penghujung Ramadan lalu sebelum pulang semula ke pangkuan keluarga pada 13 Jun lalu.

“Buat masa ini kami mengesyaki dia mengikut seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi Wechat, tidak tahu puncanya tetapi dia berperangai pelik ketika menghilangkan diri kali pertama.

“Beberapa hari sebelum dia keluar, perwatakannya berubah daripada seorang yang manja kepada pemarah dan ada sahaja perkara yang tidak kena, kami pelik dia tiba-tiba berperangai seperti itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, wanita itu keluar rumah sehelai sepinggang dan meninggalkan empat anak mereka termasuk tiga daripadanya yang merupakan anak tirinya.

“Anak sulung beritahu dia menghantar ibunya ke sebuah bank dan ketika mahu mengambilnya semula isteri tiada di situ dan tidak dapat menghubunginya lagi.

“Kami mengesyaki lelaki yang membawa isteri lari itu menggunakan cara yang tidak elok berdasarkan rujukan dengan pengamal perubatan Islam,” katanya.

Mohd. Fauzi berkata, dia sudah membuat laporan polis dan maklumat terkini yang diterima isterinya berada di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

Sehubungan itu, dia berharap orang ramai yang terlihat atau mempunyai apa-apa maklumat berkaitan isterinya agar tampil ke balai polis berdekatan. -UTUSAN ONLINE