Penulis buku tersebut, Emil Bahari telah berjaya mengkaji pelbagai sudut mengenai keris termasuk pembuatan, jenisnya dan istilah-istilah yang digunakan sekian lama, sejak bermulanya zaman kesultanan Melayu.

Dicetak oleh Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), buku tersebut mendedahkan bagaimana keris dikenali menerusi bilahnya untuk membezakan antara Keris Lurus dengan Keris Berlok yang membawa gambaran perjalanan hidup atau memulakan sesuatu pekerjaan atau projek.

Di dalam buku tersebut menceritakan, bilangan lok keris membawa perlambangan tersendiri mengikut pakar kebudayaan keris Indonesia, Bambang Harsrinuksmo yang terdiri daripada Keris Lurus, Keris Lok Tiga, Keris Lok Lima, Keris Lok Tujuh, Keris Lok Sembilan, Keris Lok 11 dan Keris Lok 13.

Sebagai contoh, Keris Lurus melambangkan keteguhan hati dan kekuatan iman, perlambangan tauhid iaitu kepercayaan terhadap kekuatan Tuhan.

Ia turut menyingkap nama-nama keris Melayu berdasarkan kepada lok yang terdapat seperti Keris Lurus (keris berpukal atau keris sepukal), Keris Berlok (lok tiga hingga 19), Keris Sempena (tiga, lima dan tujuh), Keris Tambang Sari (13), Keris Cerita (sembilan, 11, 13 hingga 15) dan Keris Rantai (17 ke atas).

Menurut buku itu lagi, keris lok lima dipakai oleh seseorang berjawatan panglima, keris lok tujuh digunakan pembesar kanan di istana manakala raja dan kerabat menyarung keris lok sembilan.

Pantang larang keris turut diceritakan di dalam buku tersebut seperti menghunus keris separuh yang ternyata dilarang sama sekali. Keris harus dihunus sepenuhnya atau tidak dihunus langsung.

Simboliknya, pantang melakukan kerja separuh hati atau separuh jalan dan setelah dihunus, keris mesti dimasukkan semula ke dalam sarungnya sebagai simbol ia kembali ke tempat asalnya.

Begitulah keistimewaan keris mengikut buku Semangat Keris Melayu yang menambah koleksi ilmu sebagai rujukan kepada masyarakat masa kini.