Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan ne­geri, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, langkah tersebut juga bukan sahaja memanfaatkan pesakit kanser di utara Semenanjung malah negara jiran.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman pembinaan pusat kanser itu. Ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kerana kemudahan dan rawatan awal boleh dilakukan oleh mereka yang menghidap penyakit seumpama itu.

“Penyakit kanser begitu berat sekali ditanggung oleh pesakit dan bila ada pusat kanser di Sungai Petani nanti, sedikit sebanyak masalah dapat diselesaikan kelak termasuk melibatkan golongan susah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis Dee­pavali Perpaduan di Dewan Sri Karumariaman, Paya Besar di sini, semalam.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis itu yang menyediakan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat India anjuran Pertubuhan Permuafakatan Kebajikan Daerah Kulim/Bandar Baharu.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib dan Pengerusi MCA Bahagian Padang Serai, Dr. Chin Tung Leong.

Yong Kong memberitahu, de­ngan adanya program seumpama itu, ia berjaya mengeratkan hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum.

Asmadi pula dalam ucapannya berkata, perkara berkaitan muhibah dan perpaduan antara kaum perlu diberi perhatian serius.

“Melalui program sebegini, ia boleh menghindarkan sebarang prasangka buruk antara satu sama lain.

“Jika masyarakat ingin hidup dalam keadaan aman dan damai, setiap usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan di peringkat Pusat dan negeri perlu diberi sokongan padu,” ujarnya.