Terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Alor Setar, Gua Kerbau mendapat nama melalui pelbagai cerita atau mitos masyarakat dahulu yang mempunyai pelbagai nilai sejarah dan tarikan bagi sektor pelancongan.

Jika mengikut cerita, gua tersebut dikatakan menjadi tempat sekawan kerbau liar yang berteduh di situ, selain terdapat juga batu yang seakan-akan menyerupai bentuk seper­ti seekor kerbau.

Malah, ada juga yang menyatakan gua di Bukit Mulong itu terjadi disebabkan sumpahan Sang Kalembai, namun kesahihan kisah tersebut masih belum terbukti sehingga kini.

Kini, Gua Kerbau yang diwartakan sebagai tapak waris­an geologi sejarah neolitik oleh Muzium Negeri Kedah giat dipromosikan oleh Majlis Dae­rah Ku­bang Pasu (MDKP) sebagai lokasi rekreasi dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung.

Menurut penduduk di situ yang juga bekas Pengerusi Ja­watankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) Ko­diang Lama, Ahmad Nanyan, gua tersebut dikatakan menjadi tempat latihan tentera negeri di bawah pemerintahan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang dahulunya daerah itu dikenali sebagai negeri Kubang Pasu.

“Dipercayai dalam gua ter­babit ada tempat tersembunyi yang mana boleh menempatkan 30 orang dalam satu-satu masa, tapi kena merangkak dan tak boleh berjalan tegak kerana gua ini rendah.

“Terdapat juga lubang-lubang seperti ‘para’ atau rak yang dipercayai tempat menyusun keris, tombak dan pedang yang disusun bertingkat-tingkat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ahmad berkata, landskap se­mula jadi gua tersebut serta sungai dan juga sawah yang terbentang luas menjadikan persekitaran Gua Kerbau sangat indah dan memukau sesiapa sahaja.

“Gua ini berpotensi untuk dijadikan kawasan pelanco­ngan dan sekarang ini pun setelah MDKP ambil alih, banyak se­ko­lah dan pelajar universiti menjalankan aktiviti sukan dan kajian di sini terutamanya pada hujung minggu.

“Tiap-tiap hari juga kawasan gua ini meriah dengan orang ramai beriadah selain tidak kurang juga pasangan pengantin baharu yang mengambil peluang bergambar di sini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga diminta memberi penekanan terhadap aspek pelancongan di Gua Kerbau untuk mengembangkan lagi sektor pe­lancongan di Kedah.

Ahmad berharap, fasiliti di kawasan itu sentiasa dijaga bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai berkunjung ke gua berkenaan.