Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pada masa sama, pihaknya akan mengumpulkan 5,000 tandatangan penduduk di situ, untuk diserahkan kepada pihak istana nanti.

Kata beliau, pihaknya akan terus memberi tekanan terhadap isu pencemaran alam sekitar yang sehingga kini masih gagal diatasi oleh kerajaan dan kerajaan negeri walaupun telah berlarutan kira-kira setahun.

“Saya difahamkan terdapat kira-kira 100 buah kilang kitar semula plastik yang beroperasi secara haram. Kewujudan kilang ini telah mengakibatkan banyak masalah kesihatan kepada penduduk.

“Jika kerajaan negeri gagal menutup kilang haram ini (dalam tempoh dua minggu), Gerakan akan mempersembah maklum kepada Sultan Kedah (menghantar memorandum) bahawa negeri ini sudah tidak selamat untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi melancarkan kempen mengumpul tanda tangan bagi membantah kewujudan kilang haram di daerah ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Negeri Kedah, M. Marimuthu Selvan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, negara ini khususnya di Kedah, telah menjadi pengimport plastik terbesar di dunia untuk tujuan dikitar semula.

Katanya, perbuatan tersebut telah mengakibatkan berlaku pencemaran udara yang teruk sehingga banyak kes penyakit berkaitan pernafasan dilaporkan berlaku.

“Sekarang ini di kawasan perumahan penduduk pun sudah ada kilang haram termasuk di Tikam Batu, Gurun dan Taman Songket,” katanya. - UTUSAN ONLINE