Melalui perjanjian-perjanjian ini, titah baginda, negara amnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara khususnya akan banyak bermanfaat daripadanya; bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga dari aspek penyelarasan aset-aset dan peralatan, Research & Development (R&D) berkaitan, perkongsian teknologi dan pembangunannya serta lain-lain aspek yang berkaitan.

Selain itu, titah baginda, ia juga boleh dijadikan sebagai perbandingan kekuatan antara negara-negara.

Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2019, titah baginda, dapat mempamerkan kekuatan sesebuah negara dari sudut peralatan, aset-aset, teknologi, R&D dan sebagainya.

“Perkara ini amat mustahak untuk ATM secara amnya untuk mengenali kekuatan, kebolehan, kapasiti dan kredibiliti sesebuah negara itu dari sudut pertahanannya,” titah baginda.

Demikian titah baginda sebelum berangkat pulang ke Kuala Perlis dari jeti Langkawi Yacht Club petang tadi selepas berkenan berangkat menghadiri LIMA.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perlis dan Kedah, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said mempersembahkan ucapan selamat berangkat pulang kepada baginda sekeluarga.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut menambah bahawa LIMA juga dapat mempamerkan berbagai jenis peralatan dan aset-aset yang boleh diguna pakai oleh pasukan serta unit tentera untuk menjalani operasi serta penugasan yang khusus atau pelbagai demensi seperti Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana atau ‘Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) Operations’.

Titah baginda, ATM perlu mengenal pasti keperluan ini dan bersedia untuk memperolehi keupayaan yang setimpal untuk melaksanakan penugasan dan kewajipan untuk operasi ini di masa-masa akan datang.

“Ini juga termasuk memperolehi peralatan dan aset-aset yang khusus untuk melaksanakan tugas-tugas bersama oleh ketiga-tiga Perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” titah baginda. - UTUSAN ONLINE