Buktinya, SADA hanya menerima kira-kira 580 aduan berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini dalam tempoh lima hari bermula 23 Julai lalu berbanding 6,297 aduan bagi tempoh sama pada musim perayaan Aidilfitri tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, langkah awal yang diambil kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah air yang dihadapi orang ramai terutama ketika musim perayaan adalah bukti pihaknya serius dalam memberi keselesaan kepada rakyat Kedah.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) mengagihkan kira-kira 1,500 tong air berkapasiti 900 liter kepada rakyat di negeri ini sebagai langkah menambah simpanan air untuk kegunaan musim perayaan Aidilfitri.

“Semua tong air itu diagihkan kepada ahli dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional dan penyelaras dewan undangan negeri (DUN) di seluruh Kedah bagi memastikan penduduk yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tangki boleh membuat simpanan air.

“Pemberian tong air ini kerana kita sedar bukan semua rakyat di negeri ini mempu membeli tong sebegini. Selain agihan secara individu, kita juga meletakkan tong-tong tersebut di lokasi-lokasi yang ditetapkan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan ke­selamatan kampung (JKKK) ma­sing-masing.

“Langkah itu juga bagi membolehkan penduduk di kampung tersebut mendapatkan bekalan air tambahan sekiranya simpanan mereka tidak mencukupi kerana SADA akan sentiasa mengisi tong tersebut apabila berkurangan,” katanya di sini baru-baru ini.

Kata Ahmad Bashah, sebanyak 31 pusat aduan setempat yang dikendalikan kakitangan SADA dan JKKK dibuka di seluruh ne­geri bagi membolehkan orang ramai menyalurkan terus maklumat mengenai gangguan bekalan air di rumah mereka.

“Bagi memastikan orang ramai mudah untuk menyalurkan permasalah air yang dihadapi, SADA telah bertindak meletakkan gegantung yang tertera nombor telefon JKKK dan bilik gerakan.

“Pada masa sama, pengerusi JKKK juga memainkan peranan dalam memastikan bekalan air di tong air yang ditempatkan di kampung tersebut dapat menampung keperluan penduduk,” ujarnya.

Menurut Ahmad Bashah, pihak SADA juga menyediakan 2.7 juta liter air dengan menggunakan 127 lori sehari untuk diagihkan ke kampung yang dikenal pasti bermungkinan mengalami masalah gangguan air pada musim pe­rayaan.

“Apabila perantau pulang ke Kedah untuk pulang berhari raya, penggunaan air meningkat sehingga 30 peratus daripada hari biasa. Kawasan yang mempunyai tekanan air rendah seperti Pokok Sena, Merbok dan Kuala Nerang berdepan risiko untuk mengalami gangguan bekalan air.

“Namun langkah awal yang dirancang kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi lain berjaya mengurangkan jumlah gangguan bekalan air malah aduan yang diterima dikurangkan SADA juga menurun lebih 75 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.