ALOR SETAR 21 Januari 2019 - Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff di Alor Setar di sini, hari ini. PEMBERITA: AIMY UTUSAN

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan tersebut telah membangkitkan kemarahan ramai orang Islam yang menghubungi persatuan itu, sejak berita mengenainya tersebar.

Katanya, ia ekoran kekhuatiran mereka jika ada pihak tertentu mempunyai agenda terselindung di sebalik kajian yang mahu dilakukan.

Menurut beliau, golongan bukan Islam tidak memahami batas agama dan hukum yang disyariatkan sekiranya mereka dibenarkan memberi apa jua pandangan mengenai Islam.

‘‘Cake menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang meminta kita mengutarakan isu ini kerana mereka sangsi mengapa bukan Islam nak kaji subjek Pendidikan Islam sedang­kan selama ini pendidikan agama tidak menimbulkan masalah atau gejala sosial.

‘‘Jika mereka (Kementerian Pendidikan) mahu mengkaji juga, kita cadangkan agar kaji semua subjek termasuk pendidikan Cina. Memang kita bersetuju kalau mahu tambah baik subjek Pendidikan Islam tetapi bukan mengurangkan apa-apa yang sedia terkandung dalam mata pelajaran itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mengumumkan pasukan petugas khas bagi meneliti isu-isu membabitkan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan di laman Facebook miliknya semalam.

Dalam hantaran itu, Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran itu telah dipadam dan digantikan dengan kenyataan kekesalannya apabila pengumuman tersebut disalah tafsir selepas mendapat kecaman hebat daripada warganet.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan dan Agama Cake, Abd. Latiff Basri berkata, tindakan itu dibimbangi akan mencetuskan ketegangan kerana ‘tidak kena’ sekiranya orang bukan Islam mahu mencampuri urusan agama Islam termasuk di sekolah.

‘‘Surah al-Kafirun telah jelas menggariskan iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’, memang kita nampak seolah-olah ada agenda di sebalik tindakan itu yang mendatangkan kegusaran kepada orang Islam.

‘‘Apatah lagi isu ini timbul ketika orang ramai masih sakit hati dengan gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) yang mencadangkan supaya mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi oleh wakil kaum Cina,’’ katanya.