AZMAN NASRUDIN
AZMAN NASRUDIN 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, penanaman di dalam bangunan merupakan alternatif terbaik memandangkan keluasan tanah yang terhad di pulau itu selain mengaplikasikan teknologi terkini yang ada.

Menurutnya, terdapat syarikat yang sudah menunjukkan minat untuk terlibat dalam projek berskala besar itu yang dijangka dapat dimulakan menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kita sedang berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk mengenal pasti bangunan-bangunan kosong di Pulau Langkawi untuk diusahakan projek tanaman sayur-sayuran secara hidroponik dan aquaponik.

“Selain petani, ada juga syarikat sudah menunjukkan minat untuk mengusahakan tanaman terbabit dan kita lihat ini satu perkembangan positif bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa ke pulau itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.

Pada 25 Mei lalu, Dr. Mahathir berkata, sektor perhotelan di Langkawi terpaksa mengambil sayur-sayuran dari tanah besar dan negara jiran yang merugikan pelbagai pihak.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, projek penanaman itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan para petani di pulau itu bagi menampung kos sara hidup.

Sementara itu, ujar Azman, kerajaan negeri memandang serius saranan Perdana Menteri bagi menangani kos sara hidup penduduk di pulau berkenaan termasuk kepada industri pelancongan.

Menurutnya, permintaan yang terlalu tinggi di sana menyebabkan berlaku permainan harga antara pembekal atau pengimport.

“Sebab itu kita perlukan pengeluaran sayur-sayuran tempatan yang konsisten untuk elak perkara ini berlaku, jika sayur dibeli dengan harga yang mahal, pasti caj makanan kepada pelancong juga tinggi, ini yang kita perlu dielakkan jika mahu lebih ramai pelancong ke Langkawi.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga komited untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai pengeluar beras pulut dan kelapa pandan seperti yang dinyatakan Dr. Mahathir,” katanya. - UTUSAN ONLINE