Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, tanaman tersebut yang bakal dibangunkan di Mukim Hosba, di sini diyakini mampu mengurangkan kebergantungan terhadap import bijirin itu bagi kegunaan makanan ternakan.

Menurutnya, projek penanaman yang akan dimulakan pada minggu ini dijangka mampu menghasilkan kira-kira 520 tan metrik pada fasa pertama bagi keluasan 65 hektar.

“Tuaian pertama dijangka selepas 105 hari iaitu menjelang Ogos ini dan Angkasa akan memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta untuk keseluruhan projek tanaman ini.

“Pulangan hasil bagi penanaman itu hanya untuk setahun sahaja dan dijangka mencecah RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui selepas menandatangani perjanjian dengan Famox Plantation di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Famox Plantation, K. N. Ramana.

Tambah Abdul Fattah, industri tanaman jagung bijirin itu berpotensi tinggi kerana boleh menampung permintaan penternak-penternak ayam dan ruminan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada import.

“Famox Plantation merupakan syarikat pertama yang dipilih oleh Kementerian Pertanian untuk bekerjasama dengan Angkasa bagi projek tanaman yang berskala besar ini.

“Malah, kami juga berpeluang untuk membekalkan bijirin ini kepada pusat kuarantin lembu dari Thailand yang juga terletak berdekatan ladang tanaman ini,” ujarnya.

Untuk rekod, jumlah import negara terhadap bekalan jagung bijirin ketika ini mencecah RM3.9 bilion bagi menampung permintaan pasaran tempatan. -UTUSAN ONLINE