Malah menurut bapanya, Suhaimi Abdul Wahab, 31, yang menemani anak kecilnya itu di rumah kakaknya di Kampung Kubang Bongor dekat sini sepanjang malam tadi, Putri Ayuni turut mengigau memanggil kakaknya, Nur Tasnim Batrisyia, 9, yang maut akibat kemalangan di Jalan Taman Belimbing, Jitra, petang semalam.

“Saya difahamkan ketika kejadian kedua-dua mereka yang dijaga oleh ibu bapa bekas isteri Suhaimi, Norehan Mohd. Idris, 29, di Desa Keda Malau, Jitra sedang menaiki motosikal bersama bapa saudara, Mohamad Razief Mohd. Idris, 17, menuju ke kedai untuk membeli air kelapa.

“Tidur Putri Ayuni terganggu dan dia turut menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku sehingga awal pagi kepada saudara mara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang semalam, Nur Tasnim yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Malau maut manakala Putri Ayuni pula patah paha kanan setelah motosikal ditunggang Mohamad Razief terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang pengawal sekolah, Ahmad Yahaya, 51, iaitu penunggang sebuah lagi motosikal manakala pemandu kereta berusia 52 tahun tidak cedera.

Suhaimi berkata, kali terakhir dia bertemu Nur Tasnim kira-kira dua minggu lalu di tepi jalan, berdekatan rumah mentuanya untuk menyerahkan telefon bimbit kepada anaknya itu.

“Dalam pertemuan yang turut disertai Putri Ayuni itu, Nur Tasnim ada menyatakan hasrat untuk memiliki kasut baharu, namun hasrat tersebut tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim memaklumkan kesemua kende­raan terlibat kini disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.