Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah pengeluaran itu merangkumi keluasan 2,038 hektar sawah yang dikenal pasti di seluruh pulau peranginan itu yang berpotensi untuk ditanam padi pulut.

Menurutnya, sebagai permulaan, seramai 29 orang pesawah akan terlibat dalam projek rintis tanaman itu di kawasan berkeluasan 38 hektar di Kampung Padang Lalang, Kampung Ayer Hangat dan Kampung Teluk.

“Pelaksanaan projek rintis dalam skala kecil memberi ruang kepada pihak pelaksana untuk mempelajari sebarang kelemahan, kekurangan dan masalah tidak dijangka yang mungkin timbul untuk ditambah baik pada masa tanaman sebenar nanti.

“Penanaman padi pulut di Langkawi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat yang melalui beberapa fasa pembangunan sebelum diteruskan projek tanaman berskala besar pada saiz yang ekonomik,” katanya selepas melancarkan Projek Rintis Tanaman Padi Pulut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan.

Pelaksanaan tanaman padi pulut itu adalah usaha untuk merealisasikan impian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ingin melihat petani di Langkawi memperoleh sumber pendapatan yang lebih baik berbanding tanaman padi biasa yang dilaksanakan sekarang.

Dr. Mahathir pada 25 Mei lalu percaya kebergantungan terhadap beras pulut dari negara jiran mampu dikurangkan sekiranya Pulau Langkawi dijadikan pusat pengeluaran terbesar tanaman itu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kejayaan pelaksanaan tanaman padi pulut di pulau itu akan turut membantu mengurangkan kos pengimportan padi pulut yang dianggarkan sebanyak RM30 juta setahun ketika ini.

“Bukan itu sahaja, sawah padi pulut yang terbentang luas akan turut menjadi faktor tarikan yang akan menyokong kepada industri agropelancongan Langkawi selain meningkatkan pendapatan pesawah di sini,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, tuaian pertama padi pulut yang menggunakan varieti pulut siding bagi projek rintis tanaman itu dijangka pada November ini.

Katanya lagi, penambahbaikan sistem pengairan di sawah padi, penyediaan infrastruktur baharu seperti jalan ladang, parit dan tali air serta kemudahan jentera terkini antara perkara yang diambil kira dalam projek rintis itu. -UTUSAN ONLINE