Bagi tujuan itu, kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta pada tahun ini.

Jumlah tersebut melibatkan pemberian RM250 sebulan untuk pembelian barangan keperluan asas manakala RM500 lagi setahun untuk rawatan kesihatan untuk setiap keluarga.

Majlis pelancaran program dan penyerahan kad KIDA peringkat daerah ini, disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Dewan Al Hana di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) hari ini, program kebajikan KIDA adalah salah satu inisiatif peduli rakyat (IPR) kerajaan yang bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan wanita negeri ini.

Kata kenyataan itu, lebih penting kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan secara sistematik dan bersasar kepada golongan berkenaan.

“Penerima-penerima bantuan KIDA ini dipilih daripada senarai bank data kemiskinan nasional e-Kasih yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Langkah itu bagi memastikan hanya golongan miskin dan miskin tegar sahaja yang layak menerima bantuan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, senarai penerima bantuan KIDA yang layak juga akan dikaji semula dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada sesiapa yang layak tertinggal di dalam proses pemilihan dan hanya yang layak sahaja akan mendapat bantuan.

Kata kenyataan itu, para pemegang kad KIDA boleh membeli barangan keperluan asas mereka di kedai runcit dan pasar raya terdekat yang berdaftar menggunakan sistem kad pintar secara tanpa tunai.

“Untuk mendapatkan kemudahan rawatan kesihatan pula, mereka boleh ke klinik-klinik panel yang dilantik.

“Bilangan kedai runcit serta premis yang akan menerima sistem kad pintar KIDA juga akan ditambah dan diperluas agar memudahkan pemegang kad KIDA mendapatkan barangan keperluan asas dan rawatan perubatan pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mukhriz berkata, KIDA diilhamkan untuk menghargai pengorbanan besar kaum ibu dan mengiktiraf peranan mereka di dalam sesebuah keluarga.

“Kerajaan negeri juga menyedari bahawa jumlah bantuan perbelanjaan untuk para penerima masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup mereka.

“Justeru, Program KIDA ini adalah untuk memenuhi keperluan jangka masa pendek dengan membantu meringankan beban golongan sasar ini supaya mereka dapat keluar dari kancah kemiskinan, seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kuasa beli, kesejahteraan dan kualiti kehidupan yang lebih selesa,” katanya. - UTUSAN ONLINE