Bengkel anjuran Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan kerajaan negeri itu sebagai usaha untuk mendedahkan penggiat industri kepada pasaran digital.

Selain pengendali produk pelancongan, pemilik perkhidmatan pelancongan dan ejen pelancongan di pulau peranginan itu, bengkel terbabit turut disertai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Menerusi program tersebut juga, data dan maklumat berkaitan industri pelancongan dapat dikumpulkan bagi mengenal pasti produk pelancongan baharu dan sedia ada yang mempunyai kebolehpasaran tinggi di setiap daerah di negeri ini.

Setiausaha Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Noorul Azyyati Ahmad Salmi berkata, pihaknya komited untuk menggalakkan lagi sektor pelancongan yang menyumbang kepada pendapatan negara khususnya di Langkawi.

“MPLBP akan terus komited membantu secara langsung sebarang usaha ke arah pembangunan dan kemajuan sektor pelancongan di Pulau Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata, bengkel yang dianjurkan di setiap daerah sejak 17 Julai lalu sehingga 18 Ogos ini itu mendedahkan teknik baharu yang menggunakan elemen teknologi bagi meningkatkan produktiviti produk pelancongan di negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk menarik 30 juta pelancong pada tahun depan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dapat menjana RM100 bilion pendapatan negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE