Menurut Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Kedah, Suzana Abu Bakar, ia bertujuan untuk menguji Borang Soal Selidik Banci yang akan digunakan sebagai instrumen utama bagi Banci 2020.

Selain itu kata beliau, ia juga bagi menguji pelaksanaan modenisasi Banci 2020 melalui sistem bersepadu dikenali sebagai Sistem Bersepadu Bancian Populasi (MyIPCS).

“Ini termasuk kediaman biasa, asrama, Orang Asli atau kawasan keselamatan tentera dan polis.

“Antara maklumat atau parameter banci adalah berkaitan jenis kemudahan asas dan utiliti, pemilikan kediaman, aktiviti pertanian, maklumat perseorangan serta modul khas berkenaan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut Suzana berkata, pelaksanaan Banci 2020 penting bagi mengenal pasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan di negara ini.

Katanya, maklumat yang diperoleh ini seterusnya akan digunakan untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan.

“Ia juga menjadi input penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sosioekonomi dan menjadi asas anggaran dan unjuran bagi penduduk dan tempat kediaman,” kata beliau.

Suzana mengingatkan bahawa segala maklumat yang dikumpul oleh pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia adalah sulit dan tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).

“Sehubungan itu, kita amat berharap kesemua isi rumah yang terpilih memberikan kerjasama kepada pegawai yang berkunjung ke tempat mereka.

Tambah beliau, terdapat lima kaedah pembancian digunakan iaitu e-Census, Computer Assisted Personal Interview (CAPI), Computer Assisted Telephone Interview (CATI), Paper Assisted Personal Interview (PAPI) dan Drop Off and Pick Up (DOPU).

Katanya, jabatan itu menyasarkan sebanyak 40 peratus kediaman dibanci menggunakan kaedah CAPI dan 20 peratus lagi secara e-Census.

“Selari dengan amalan terbaik negara-negara maju, Jabatan Perangkaan turut melaksanakan transformasi banci dengan memodenisasi kaedah penyenaraian menggunakan Online Self Listing (OSL) yang menjadi asas kepada proses bancian.

“Di samping itu, portal khas berkaitan banci iaitu www.mycensus.gov.my telah diwujudkan bagi memudahkan capaian orang awam terhadap sistem banci dalam talian dan maklumat berkaitan kependudukan termasuk maklumat geospatial,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai banci ini boleh berhubung dengan Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah atau layari www.dosm.gov.my - UTUSAN ONLINE