A. Bakar Abd. Rahman, 48, berkata, isterinya, Marini Kasman, 38, meninggal dunia akibat kegagalan fungsi jantung selepas dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru sejurus mengadu sesak nafas.

“Isteri saya memang ada menghidap penyakit asma dan sehari sebelum meninggal dia mengadu sesak nafas sebelum saya bawa dia ke hospital.

Marini Kasman
Allahyarhamah Marini Kasman 

“Doktor cakap tekanan darah dia memang tinggi, paru-paru pula banyak masuk air dan kekurangan oksigen dalam badan sebelum menghembus nafas kira-kira pukul 4 pagi semalam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.

A. Bakar turut terkilan dengan laporan berita yang tular dalam media sosial mendakwa isterinya meninggal dunia akibat sesak nafas berpunca daripada pencemaran udara di Pasir Gudang.

Susulan laporan itu, bapa kepada seorang cahaya mata membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Scientex di sini bertujuan membersihkan nama baik keluarganya.

“Saya mohon agar pihak di luar sana berhenti menyebarkan laporan palsu berkenaan dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sebar laporan tidak sahih ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE