Itu yang dinyatakan Nor Hazam Shitam, 54, semasa ditemui Utusan Online yang berkunjung ke Pasar Karat Jalan Sengget di sini, baru-baru ini.

Nor Hazam menawarkan perkhidmatan perkhidmatan mengurut kaki kepada pengunjung selama 20 minit untuk satu sesi yang bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam dengan bayaran seikhlas hati.

Bapa kepada empat cahaya mata itu menambah, perkhidmatan urutan refleksologi kaki hanya kerja sampingan pada waktu malam kerana dia mempunyai kerja tetap pada masa ini.

Apabila ditanya mengapa tidak meletakkan sebarang harga, jawapannya ringkas dan bersahaja kerana dia hanya mampu membuat amal jariah dengan menggunakan tenaga dan tidak mempunyai kekuatan dari sudut kewangan.

“Arwah ayah pernah berpesan sekiranya kita tidak mampu membuat amal jariah dengan duit , kita lakukan dengan anggota badan kita.

“Begitu juga jika saya mempunyai kerja tetap jangan sekali menetapkan harga untuk perkhidmatan refleksologi kaki ini” katanya.

Titipan pesanan ayahnya senantiasa tersemat di dalam kehidupannya sejak mempelajari ilmu mengurut refleksologi kaki ketika berumur 21 tahun lagi.

Bagi pengunjung yang ingin bersantai ataupun membawa keluarga bersiar- siar ke Pasar Karat ini boleh mencuba dan merasai pengalaman menarik ‘tangan emas’ Nor Hazam yang sudah berpengalaman hampir 33 tahun dalam bidang refleksologi kaki. - UTUSAN ONLINE