Ahmad Hassan, 47, yang merupakan seorang pekerja kilang dan bapa kepada enam anak ketika ini gangguan Along di rumah mereka malah tidak boleh melakukan persiapan Aidilfitri kerana semua wang yang ada terpaksa membayar faedah dikenakan.

Bukan itu sahaja Ahmad juga terpaksa membatalkan tawaran anaknya yang akan menyambung pengajian ke sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Utara tidak lama lagi kerana masalah kewangan dihadapi mereka.

Semuanya bermula apabila Ahmad meminjam RM1,000 daripada seorang ah long pada Februari lalu kerana menghadapi masalah kewangan terutama ketika sesi persekolahan mula dibuka ditambah lagi peningkatan kos sara hidup.

“Saya seorang diri membesarkan lima anak manakala bekas isteri membawa haluan sendiri. Saya tidak salahkan dia, cuma perbelanjaan ketika ini terlalu tinggi dan biasanya gaji saya sebanyak RM2,000 tidak mencukupi.

“Ketika benar-benar terdesak, saya menerima pesanan di telefon bimbit mengenai perkhidmatan pinjaman wang dan selepas berfikir panjang, saya beranggapan mampu membayar hutang seperti dijanjikan kerana hanya meminjam RM1,000,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon di Taman Maju Jaya di sini hari ini.

Malangnya kata Ahmad, kadar faedah dikenakan terlalu tinggi hingga membuatkannya tidak mampu bayar lalu mengambil keputusan meminjam ahlong kedua, ketiga dan sehingga ke-14 hanya untuk melunaskan kadar faedah Along terdahulu sedangkan hutang bertambah.

Dia berkata, jumlah hutang yang dikumpul ketika ini adalah sebanyak RM10,000 dan ada wang yang dipinjam tidak digunakan langsung sebaliknya hanya untuk membayar ahlong lain.

Kemudian pada pukul 9.30 pagi semalam dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada salah seorang ahlong yang mahu dia membayar dalam masa tujuh hari atau akan diburu hingga ke rumah di Taman Bersatu, Kulai.

“Pesanan itu berbunyi ‘Gambar kau akan ditampal depan rumah dan sekeliling rumah kau, Amaran Terakhir mesti menyelesaikan semua hutang kau dalam tempoh tujuh hari, kalau tak bayar nanti rumah kau akan dikunci dan diubah suai... hubungi kita segera’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya cuba membantu Ahmad dengan menjadi orang tengah dan meminta Along menghentikan kadar faedah, sebaliknya hanya membayar hutang asal.

“Jika diikutkan, Ahmad sudahpun membayar faedah yang tinggi dan berilah dia peluang untuk menjelaskan hutang dengan hanya mengenakan bayaran jumlah yang dipinjam,” katanya. - UTUSAN ONLINE