Kutipan itu diperoleh daripada 354 penyumbang terdiri daripada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta yang simpati dan mahu membantu mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Presiden Pertubuhan Ihsan Johor (Ihsan), Md. Razin Mahmood berkata, mereka yang memberikan sumbangan datang dari seluruh negara termasuk dari Singapura.

“Kita terkejut dengan sambutan diberikan kerana pelancaran tabung tersebut hanya dilakukan menerusi Facebook rasmi Ihsan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.

Pencemaran sisa toksik di sungai tersebut yang dikesan sejak 7 Mac lalu sehingga kini melibatkan seramai 5,848 mangsa, daripada jumlah itu 951 dimasukkan dalam wad di hospital manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

SUKARELAWAN mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada penduduk Taman Pasir Putih
SUKARELAWAN mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada penduduk Taman Pasir Putih 

Md. Razin berkata, pihaknya juga menggerakkan lebih 200 sukarelawan memberikan penutup mulut dan hidung kepada penduduk berhampiran dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

Mereka terdiri antaranya daripada sukarelawan Ihsan, kakitangan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

“Kita mengedarkan 8,940 topeng muka berbagai jenis kepada seluruh penduduk di Pasir Gudang hasil sumbangan dari rakyat Malaysia yang prihatin dari 13 hingga 18 Mac lalu.

“Kami mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu kami membeli lebih banyak lagi topeng muka untuk diedarkan secara berterusan kepada warga Pasir Gudang,” katanya.

Jelas beliau, ini kerana topeng berkenaan hanya effektif selama lapan jam dan perlu diganti dengan yang baharu.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke Akaun Rasmi Pertubuhan Ihsan Johor (Maybank) 5512 0352 7725. - UTUSAN ONLINE