Presiden persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan Orang Kurang Upaya (OKU) Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Malik berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada pencemaran toksik yang dibuang di sungai itu.

Jelas beliau, ini kerana terdapat mangsa Sungai Kim Kim terutama kanak-kanak yang mendapat kesannya seperti mengalami sakit buah pinggang, sering demam, mengalami kebiruan pada kaki dan tangan termasuk cepat letih.

“Justeru satu ujian darah perlu dilakukan semula. Sebabnya sebelum ini mereka yang pernah dimasukkan dalam wad dan pernah berada di zon merah di hospital pernah mengalami simptom-simptom pencemaran toksik.

“Ada di antaranya positif ada yang negatif. Jadi kita betul-betul mahukan satu kepastian adakah darah kami bebas daripada penyakit atau kesan toksik termasuk saya sendiri yang pernah dimasukkan dalam wad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan penutup mulut dan hidung serta memberikan air kotak susu kepada pelajar

di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tanjung Puteri Resort di sini hari ini.

Jamaluddin yang Pengerusi Kelab Belia Wawasan Taman Tanjung Puteri Resort berkata, sekiranya terdapat mangsa yang mengalami kesan berpanjangan contohnya berisiko mendapat kanser, satu langkah pembelaan perlu dilakukan termasuk untuk mendapatkan pampasan.

Jelas beliau, bagi mendapatkan dana untuk melakukan melakukan ujian darah itu, Tabung Prihatin Pasir Gudang khusus untuk mangsa pencemaran pertama dan kedua dilancarkan pada 20 Jun lalu.

Menurut beliau, tabung itu akan cuba membela mangsa pencemaran pertama dan kedua bagi mendapatkan keadilan bagi pihak mereka. - UTUSAN ONLINE