Baru beroperasi lima bulan lalu, sup tersebut merupakan air tangan Saharuddin Kamijan, 54, yang mengusahakan perniagaan berkenaan dan berjaya menarik ramai pengunjung tempatan dan luar daerah ini.

Ini kerana tidak banyak pengusaha gerai makanan yang menjual sup gear box terutama pada waktu malam di sekitar bandar Pontian berbanding sebelah pagi seperti mana kebiasaan.

Berpengalaman selama kira-kira 30 tahun menjalankan perniagaan kedai makan mewarisi seni dan kemahiran memasak bapanya bermula di Kampung Baharu, Kuala Lumpur sebelum ke Ipoh dan Tangkak lalu beralih kepada kantin di sekolah serta dan kilang.

“Memandangkan kurangnya peniaga yang menyajikan sup tersebut pada waktu malam ketika ini, saya dan keluarga mengambil keputusan membuka yang tentu ada penggemar pada waktu malam.

“Kami mencuba kelainan cara memasak dengan menggunakan banyak rempah ratus serta memastikan sup gear box dimasak dua jam sebelum proses memasak seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Saharuddin berkata, menggunakan tag line Gear Box Power Persisir, pihaknya tidak menduga sambutan yang diberikan orang ramai cukup memberangsangkan terutama pada sebelah petang.

“Perniagaan kami dibuka dari pukul 4 petang hingga pukul 12 malam dengan sup gear box dimakan bersama roti Perancis yang dijual dengan harga RM10 semangkuk seperti mana di tempat lain.

“Bagi setiap mangkuk, terdapat dua ‘batang’ gear box yang disajikan kepada pengguna dengan aroma yang menggamit mereka untuk datang lagi ke gerai kami,” katanya.

Saharuddin yang dibantu isterinya, Wan Yusma Wati Wan Bakar, 42, turut menjual sup tulang daging lembu dan sup kaki ayam atau ‘ceker’ bagi yang tidak menyukai sup gear box.

Menurutnya, pelbagai sajian sup yang dijual dapat memenuhi kehendak dan keinginan penggemar sup yang mencari makanan ‘panas-panas’ dimakan dengan roti bersama keluarga serta sahabat.

“Kami juga menjual laksa Penang secara layan diri dengan harga RM4 sepinggang dan terpulang kepada pelanggan untuk mengambil mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Saharuddin berkata, Gear Box Power diharap menjadi lokasi tambahan 'jalan-jalan cari makan' bagi mereka yang datang ke Pontian sama ada untuk bercuti ataupun urusan pekerjaan.

“Ini secara tidak langsung menambah tempat makanan tradisional Melayu di bandar ini bagi memenuhi kehendak orang ramai pada waktu malam yang inginkan masakan tradisional Melayu,” katanya.