Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, langkah tersebut selari dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu Pendidikan Islam di negeri ini diperkasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu sijil tersebut sekurang-kurangnya meme­nuhi kelayakan minimum untuk menyambung pelajaran dalam peringkat diploma atau ijazah.

“Bagi tujuan itu, kita merangka silibus dan kurikulum baharu untuk Darjah Khas.

“Mungkin ini menjadikan tempoh pembelajaran Darjah Khas itu lebih daripada setahun, sesuai dengan kelayakannya,” katanya dalam Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan Institut Pendidikan Guru (IPG) 2018 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, pihaknya mengarahkan Bahagian Pendidikan Agama, Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor (JAINJ) untuk memeriksa sekolah tahfiz swasta yang beroperasi di negeri ini.

“Semakan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dalam tempoh sebulan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Selain itu, syarat kelayakan untuk membuka pusat tahfiz baharu akan diperketat bagi memastikan pusat tahfiz beroperasi mengikut piawaian ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda turut menyeru masyarakat untuk tidak memberi derma kepada mana-mana pusat tahfiz yang tidak berdaftar.