SYAMIM SYAHIRAH ABDUL MANAF
SYAMIM SYAHIRAH ABDUL MANAF 

Jururawat Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Syamim Syahiran Abdul Manaf, 27, berkata, sejak enam tahun bergelar jururawat, ini kali pertama dia mengalami situasi sedemikian.

Dia telah terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa sejak 12 Mac lalu ketika pusat rawatan awal dibuka di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih.

“Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk membantu mangsa terjejas di dewan tersebut, namun pada hari sama kami dipanggil pulang ke hospital kerana keadaan di situ juga sesak dengan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.

“Kemudian saya ditugaskan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan sejujurnya, perasaan takut dan risau itu ada dalam diri kerana ini kali pertama saya berdepan situasi seperti ini,” katanya ketika ditemui di stadium tersebut.

Pusat rawatan di stadium tersebut ditutup secara rasmi pada hari ini selepas kira-kira seminggu beroperasi merawat mangsa pencemaran toksik di daerah ini.

Pencemaran toksik yang bermula sejak 7 Mac lalu telah menjejaskan lebih 4,000 penduduk setempat sehingga memaksa kerajaan menutup kesemua 111 sekolah di kawasan terlibat.

Dia yang menetap di Taman Scientex tidak jauh dari lokasi kejadian berkata, ketika bertugas antara perkara yang kerap berada dalam fikirannya adalah bagaimana keadaan keluarganya di rumah, khususnya dua anak kecil yang berusia 3 tahun dan 11 bulan.

“Kita disini sibuk bantu menyelamatkan mangsa, dalam masa sama tertanya-tanya keadaan anak-anak di rumah. Alhamdulillah semuanya sihat dan selamat,” ujarnya.

RADIN HAMIMAH MOHAMAD
RADIN HAMIMAH MOHAMAD 

Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Radin Hamimah Mohamad, 32, pula memberitahu, situasi sedemikian menguji latihan yang diterimanya selaku anggota keselamatan.

“Saya bertugas di unit latihan, namun operasi kali ini memerlukan kami untuk bersama-sama berada di lapangan bagi membantu, sememangnya ini merupakan pengalaman baharu.

“Secara tidak langsung, pengalaman ini turut meningkatkan lagi kemahiran dan kecekapan setiap anggota yang terlibat,” ujarnya.

Radin Hamimah turut memberitahu sudah berada di pusat rawatan awal itu selama lima hari di mana mereka disediakan ruang untuk tidur di tingkat tiga. - UTUSAN ONLINE