Itu adalah senario yang sering digambarkan mengenai perpustakaan.

Namun, bagi Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), perpustakaan diibaratkan sebagai pusat maklumat pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat, dari yang kecil hingga kepada warga emas.

PPAJ mahu perpustakaan menjadi bukan sahaja tempat untuk membaca dan hanya bagi golongan muda sahaja tetapi pada masa sama juga perlu menjadi tempat untuk individu mempelajari sesuatu atau membuat rujukan.

“Sebagai contoh, kalau ada yang ingin belajar menjahit, memasak atau menganjurkan sesuatu majlis mereka boleh mendapatkan bahan mengenainya di perpustakaan, kerana ia bukan hanya tempat membaca.

“Kemasukan ke perpustakaan juga tiada had umur,” kata Pengarah PPAJ, Ungku Noorakmal Ung­ku Sulaiman.

Beliau berkata, usaha PPAJ untuk memperkasa pera­nan perpustakaan boleh dilihat bukan sahaja dengan menganjurkan pelbagai program membabitkan masyarakat pelbagai peringkat untuk membaca buku.

Malah, menurutnya, dalam menjayakan usaha tersebut, PPAJ turut membuka Perpustakaan Komuniti di pusat beli-belah AEON Kulai yang kini merupakan perpustakaan ketiga paling ramai dikunjungi daripada 16 cawangan PPAJ dan 46 perpustakaan desa di negeri ini.

Ungku Noorakmal berkata, pembukaan perpustakaan komuniti itu pada 27 November 2013 ternyata membuahkan hasil apabila jumlah pengunjung meningkat dari 11,045 pada 2013 kepada 53,992 pengunjung pada tahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, katanya, jumlah keahlian perpustakaan itu yang mempunyai 6,134 koleksi bahan bacaan juga mening­kat daripada 496 orang kepada 1,582 orang membabitkan jumlah buku yang dipinjam sebanyak 1,100 meningkat kepada 20,390 buku.

“Langkah membuka perpustakaan dalam pusat beli-belah juga mempunyai tarikan apabila ramai golongan bapa dan anak-anak suka menghabiskan masa di sana sementara menunggu golongan ibu membeli-belah.

“Dari segi peningkatan pe­ngunjung ke situ, ia jelas membuktikan tempat seumpama itu mampu menarik lebih ramai orang untuk mendekati perpustakaan, berbanding daripada menunggu di suatu tempat,” katanya.

Sehubungan itu, Ungku Noor­akmal memberitahu, PPAJ bercadang untuk membuka lebih banyak perpustakaan seumpama itu selain turut mencadangkan supaya diwujudkan juga di pusat-pusat komuniti di seluruh negeri ini.

Tambahnya, statistik keseluruhan perpusta­kaan di negeri ini juga menyak­sikan peningkatan sekali gus me­nunjukkan minat masyarakat untuk membaca sentiasa ada tetapi mahu ia terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, jumlah kese­luruhan pengunjung ke perpustakaan ialah seramai 1.12 juta pada tahun lalu meningkat kepada 1.13 juta dengan jumlah keah­lian direkodkan seramai 329,904 ahli kepada 342,600 ahli dan jumlah buku yang dipinjam pula sebanyak 585,863 kepada 617,622 buah.

“Melihatkan peningkatan sta­tistik itu, PPAJ merancang untuk memperbanyakkan program berkaitan dan pada masa sama, kita juga sedang membangunkan portal rasmi dalam usaha memperluaskan peranan perpustakaan itu.

“Selain itu, kita juga merancang untuk meneruskan program bercerita dengan warga emas dan mengunjungi sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk membawa pelbagai aktivi­ti perpustakaan dekat kepada mereka,” katanya.

Ujarnya, menerusi usaha mereka menghasilkan 10 buah buku cerita kanak-kanak, PPAJ merancang untuk melatih pekerjanya cara-cara menyampaikan cerita atau bercerita yang mampu memberi kesan kepada pende­ngar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PPAJ juga sedang membangunkan portal rasmi perpustakaan itu yang bakal menjadi platform utama bagi perpustakaan untuk menyebarkan pengetahuan dan maklumat bukan sahaja kepada pengguna, malah kepada pencari maklumat tanpa batasan dengan lokasi fizikal perpustakaan terlibat.