Mereka didedahkan dengan kisah dongeng popular di barat itu sekali gus membuka peluang kepada penuntut untuk wadah pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih menarik dan dijalankan di luar kelas.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti Lost Map of Wonderland, The Pool of Tears, Advice From a Caterpillar dan pelbagai lagi.

Lawatan ke pameran tersebut merupakan penilaian berterusan bagi peserta yang akan dinilai berdasarkan kredibiliti mereka menjawab soalan melalui aktiviti-aktiviti interaktif dalam pameran tersebut.

Menurut Penasihat Kelab Bahasa Inggeris yang juga pengarah program, Nurzarimah Jamil, para penuntut juga dapat menikmati minum petang secara maya melalui A Mad Tea Party.

"Pelajar seolah-olah meneroka ke suatu alam dongeng tetapi pada masa yang sama mempelajari Bahasa Inggeris secara interaktif dengan bahan-bahan pameran dan aktiviti yang disediakan di pameran tersebut.

"Pelajar sangat teruja dengan aktiviti yang sangat sesuai untuk generasi mereka, generasi Z," ujarnya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Haziq Hadi berkata, lawatan ke pameran itu membuka mata mereka bahawa Bahasa Inggeris adalah satu subjek yang menarik dan seronok untuk dipelajari.

"Sebelum ini saya tidak begitu tertarik dengan subjek Bahasa Inggeris tetapi pensyarah banyak mendedahkan saya kepada kaedah pembelajaran yang seronok membuatkan saya tekad untuk terus belajar dan meningkatkan pemahaman Bahasa Inggeris saya," ujarnya.

Nurzarimah berkata, lawatan seperti ini dapat membantu meningkatkan minat penuntut mempelajari Bahasa Inggeris dan seterusnya membantu kebolehpasaran graduan apabila mereka tamat belajar nanti.

Kelab Bahasa Inggeris PMJB merupakan kelab elektif yang dipilih oleh pelajar Semester 3 dan bilangan pelajar yang berminat untuk menyertai kelab itu amat memberangsangkan. - UTUSAN ONLINE