Cahaya lampu kalimantang terus melimpahi segenap sudut Bazar Johor Bahru (Bazar JB) atau sinonim dengan nama Pasar Karat yang terletak di Legaran Segget di sini.

Meskipun sudah awal pagi, namun tiada tanda-tanda orang ramai akan beredar, sebalik­nya pengunjung dan pelancong terus membanjiri Pasar Karat berkenaan yang didirikan di sepanjang deretan bangunan-bangunan lama.

Sejak dibuka pada 2009, Pasar Karat tidak pernah sepi.

malah terus menjadi nadi yang menghidupkan suasana malam di tengah pusat bandar raya ini.

Cari apa sahaja yang anda mahu daripada koleksi barangan vintaj, barangan terpakai atau ‘bundle’ sehinggalah pakaian baharu dan makanan, semuanya ada dijual di sini.

Jangan terkejut sekiranya anda menemui barangan yang sudah tidak dijual, namun boleh diperoleh dengan mudah di sini seperti piring hitam dan tele­fon bimbit jenama Nokia 3310.

Sambil berjalan-jalan dan membeli-belah, halwa telinga pengunjung turut dihiburkan dengan nyanyian daripada kumpulan penyanyi jalanan.

Antara peniaga yang menjadi penghuni ‘setia’ Pasat Karat ialah Mokhtar Ismail, 56, yang menjual telefon bimbit terpakai sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai telefon bimbit lama itu mempunyai pe­langgan tersendiri kerana nilai sentimental yang tinggi kepada setiap pembeli.

“Telefon bimbit lama, antaranya jenama Nokia dan Sony Ericsson ini saya peroleh dari Singapura dan dijual dengan harga yang murah, iaitu kurang daripada RM100 seunit.

“Meskipun pada masa ini terdapat banyak telefon bimbit pintar dalam pasaran, namun te­lefon bimbit lama ini masih lagi ada yang meminatinya kerana tahan lasak dan tidak mudah rosak sekiranya terjatuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi peniaga poster kanvas, Mohamad Nazim Abdullah, 34, pelbagai produk dalam bentuk poster dan khat yang dicetak di atas kanvas turut menjadi tarikan di Pasar Karat tersebut, malah terdapat pelanggannya yang sang­gup datang dari luar negeri ini.

“Selain dibeli secara terus oleh pelanggan yang datang ke sini, poster kanvas ini turut ditempah oleh pengusaha restoran atau kafe berkonsep ala hipster.

“Ada juga pelanggan memberikan gambar atau poster mengikut cita rasa mereka sebelum saya mencetaknya di atas kanvas,” katanya.

Mohamad Nazim memberi­tahu, meskipun bandar raya ini akan berubah menjadi sebuah metropolis suatu hari nanti, namun dia berharap Pasar Karat akan terus kekal bertapak di sini kerana telah menjadi salah satu identiti bagi bandar raya ini.