Warga emas itu yang tinggal di Kampung Sungai Padang, Endau dekat sini, hidup dalam serba kekurangan dan miskin, cerita hidupnya penuh liku serta derita sejak kematian suami kira-kira 20 tahun dahulu.

Apatah lagi dalam keadaannya uzur dan bongkok, terpaksa menjaga anaknya, Wahab Harun, 53, yang terlantar akibat sakit mental dan sakit saraf sejak lebih 20 tahun dahulu.

Manis tinggal bersama-sama Harun, anak perempuan dan cucu perempuan dikenali sebagai Dayang, 32, dalam rumah yang sudah buruk selain hidup dalam serba kekurangan termasuk tiada almari baju dan tilam untuknya melelapkan mata dengan selesa pada malam hari.

Baginya, sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri saban tahun adalah sama seperti hari-hari biasa - tiada istimewanya kerana apa yang lebih penting adalah dapat meneruskan hidup dan pada masa sama bersyukur dengan apa yang ada.

Nenek tabah dan cekal itu ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya hari ini, berpakaian koyak malah bajunya tidak mempunyai butang sebaliknya diikat dengan getah namun tetap tersenyum walaupun ranjau hidupnya tiada siapa pun yang tahu.

“Nenek tinggal di rumah ini bersama-sama dua anak dan seorang cucu. Seorang anak nenek iaitu yang lelaki menghidap sakit saraf, anak perempuan berusia 50-an pula merupakan ibu tunggal selain seorang cucu perempuan. Nenek menguruskan semua keperluan anak lelaki nenek.

“Nenek tidak mampu lagi bekerja, hanya menumpang rezeki hasil daripada pendapatan cucu berjumlah RM900 sebulan selain anak perempuan yang turut bekerja iaitu ibu kepada cucu perempuan nenek itu. Selain itu turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan,” ujarnya.

Manis yang tidak menghidap sebarang penyakit berkata, walaupun hidup susah keluarganya tidak pernah meminta-minta dan meneruskan kehidupan seadanya namun tetap menantikan sinar baharu yang diharap membawa bahagia dan mengakhiri duka keluarga.

Sementara itu, Presiden Cakna Mersing, Roslan Nikmat berkata, sekiranya mana-mana pihak ingin menghulurkan sumbangan boleh berhuhung dengan beliau pada talian 019 9587979 untuk mendapatkan nombor akaun.

Jelas beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterajuinya membantu golongan kurang bernasib baik di daerah ini antaranya warga emas, ibu tunggal dan anak yatim serta juga mangsa-mangsa bencana seperti banjir termasuk mangsa kebakaran. - UTUSAN ONLINE