Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan ibadah korban itu dibenarkan di masjid dan surau di negeri ini namun harus mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Pekeliling Tempat Penyembelihan dan Pengurusan Haiwan Korban di negeri Johor.

Katanya, bagi yang ada pusat penyembelihan dan pengurusan haiwan korban khas seperti di 39 buah masjid dan 17 buah surau di bandar raya ini, mereka dibenarkan melaksanakan ibadah korban secara gotong-royong di masjid dan surau berkenaan.

“Bagi masjid dan surau yang tidak mempunyai tempat penyembelihan dan pengurusan haiwan yang khusus, hendaklah mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan dengan keutamaan menjaga kebersihan dan keselesaan jemaah.

“Tempat penyembelihan mestilah berlantai simen, berpagar besi atau tempat menambat, mempunyai lubang aliran sisa cecair, sistem saliran yang baik, lubang penangkis sisa pepejal dan paip air,” katanya dalamsidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Md. Rofiki Shamsudin.

Tosrin berkata, bagi kerja melapah, kawasan tersebut mestilah berbumbung dan tertutup, berasingan dengan tapak penyembelihan, berlantai dan mempunyai tempat gantung yang sesuai agar haiwan korban itu tidak mencecah ke lantai ketika proses melapah. - UTUSAN ONLINE