Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan ne­geri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, tujuan utama pihaknya membina litar berkenaan adalah sebagai tempat latihan awalan bagi pengenalan kepada Sukan Supercross BMX.

Katanya, selain digunakan untuk basikal jenis BMX, ia juga sesuai untuk aktiviti riadah se­perti kayuhan santai, latihan dan juga kejohanan untuk basikal jenis Mountain Bike (MTB).

“Di negara ini kita mempunyai enam litar Pump Track dan di sini (Batu Pahat) merupakan yang ketujuh, manakala di ne­geri Johor merupakan yang ketiga setelah dibina di Kompleks Belia dan Sukan di Larkin, Johor Bahru dan di Kluang.

“Litar Pump Track Batu Pahat ini yang dibina dalam konsep beralun terdiri daripada roller, table top, step up, berm dan double yang berfungsi sebagai obstacles agar mendapat momentum yang baik kepada tunggangan basikal.

“Malah keistimewaan litar ini berbanding dengan enam litar yang dibina sebelum ini ialah ia dibina dengan tiga lapisan iaitu tanah (dirt), habuk batu (quarry dust) dan tar atau bitumen (asphalt),” katanya dalam Majlis Pengenalan Pump Track Batu Pahat di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Kamalludin Jamal dan Wakil Rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat, Ahmad Narzi Rebu.

Beliau berkata, inspirasi untuk pembinaan litar itu terhasil kejayaan anak jati Batu Pahat, Zafrin Shah Sabikin yang berjaya menempatkan diri di peringkat akhir World Extreme Games di Barcelona beberapa tahun lalu dan mendapat tempat kelapan secara keseluruhan.

Katanya, litar yang dibina di Taman Linear Bandar ini bernilai RM234,860 dan sepanjang 245 meter dengan dibahagikan kepada beberapa seksyen iaitu Main Loops, Medium Loops, Small Loops dan Rhythm Section.

“Dijangkakan beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga akan dilaksanakan di litar ini dan pada April depan, nanti litar ini menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan nege­ri juga berhasrat untuk menjadikan litar ini sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi se­kira­nya pelancong dalam dan luar negara datang ke daerah ini, sekaligus akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah dan negeri, katanya. – BERNAMA