Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, lulusan Marsah yang mempunyai diploma boleh mengambil ijazah berkaitan pendidikan Islam sebelum diserap menjadi guru.

“Kaedah ini akan menampung kekurangan guru-guru dalam bidang agama Islam di sekolah-sekolah di negeri ini. Selain itu mereka juga adalah anak jati Johor yang boleh berkhidmat di negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Saannah Hill Resort di Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini malam tadi.

Khamis lalu Aminolhuda mendedahkan bahawa sekolah-sekolah di Johor mengalami kekurangan guru yang kritikal dalam lima mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Pendidikan Islam.

Aminolhuda berkata, masalah tersebut boleh diatasi dengan cara mengambil lebih ramai calon guru dari Johor mengikuti kursus perguruan berdasarkan kekurangan dan keperluan semasa.

Begitu juga katanya, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah boleh menjalani kursus perguruan dalam bidang tersebut sebelum diambil menjadi guru. - UTUSAN ONLINE