Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, sasaran itu meningkat berban­ding kira-kira 20,000 pelancong pada tahun lalu dan yakin mampu dicapai menerusi pembukaan Lata Jernih di Hutan Rekreasi UTM yang terletak dalam kampus induk universiti berkenaan di Skudai di sini, semalam.

“Sejak inisiatif Kampus Eko­pe­lancongan UTM dilancarkan pada 2009, jumlah kehadiran pelancong tempatan serta luar negara seperti Singapura dan Korea Selatan terus bertambah saban tahun.

“Justeru, kita yakin jumlah itu akan terus meningkat kepada 30,000 orang pada tahun ini menerusi pembukaan secara rasmi produk baharu kami, iaitu Lata Jernih,” katanya selepas merasmikan produk ekopelancongan terbaharu itu.

Menurut Wahid, nama Lata Jernih diilhamkan daripada perkataan 'lata' dalam bahasa Inggeris yang memberi makna 'cascade', iaitu jeram dengan airnya yang jernih mengalir secara ber­tingkat-tingkat.

Katanya, pusat rekreasi dan riadah yang menelan kos sebanyak RM49,000 itu telah dibangunkan menggunakan kepakaran 10 kaki­tangan dan 52 mahasiswa daripada Jabatan Landskap, Fakulti Alam Bina menerusi projek Job on Campus (JoC) dengan kerjasama Unit Kampus Ekopelanco­ngan, Pejabat Harta Bina dan Pusat Kerjaya UTM.

“Buat permulaan ini, caj ma­suk ke Lata Jernih hanyalah RM1 seorang dan dibuka setiap hari bermula pukul 8.30 pagi sehingga 6 petang.

“Kedudukannya yang terletak di dalam Hutan Rekreasi UTM seluas 53 hektar ini dapat memberi nilai tambah bagi mereka yang ingin menjalankan aktiviti perkhemahan dan motivasi selain pelbagai aktiviti menarik lain yang disediakan seperti mema­nah, paintball dan all terrain vehicle (ATV),” katanya.