Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, langkah tersebut adalah praktikal dan dapat membantu umat Islam memiliki rumah sendiri dan bagi yang menyewa pula dapat meringankan beban kewangan mereka.

“Ini adalah cabaran untuk baitulmal, pusat zakat atau mana-mana institusi Islam di Johor dalam membantu umat Islam memiliki rumah termasuk mengurangkan kuota 40 peratus rumah untuk bumiputera yang disyaratkan kerajaan kepada pemaju di negeri ini.

“Duit baitulmal atau zakat perlu digunakan untuk kebaikan umah dan bukan membeli kereta pacuan empat roda atau membina bangunan tinggi atau baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Jesper Residenz di Bandar Seri Alam di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan Perbandaran UMLand Bhd. Wong Kuen Kong.

Hassan yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, adalah sesuatu yang memalukan apabila kuota sudah disediakan pihak pemaju tetapi tiada mekanisme berkesan untuk mengambil atau menggunakan peluang tersebut.

Katanya, langkah itu bukan sahaja akan dapat membantu mereka yang memerlukan malah akan dapat mengelakkan salah guna kuasa berkenaan kuota bumiputera seperti berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Beliau berpendapat, cara tersebut akan mengurangkan masalah biokrasi dan korupsi dalam menyelesaikan masalah 40 peratus kuota untuk bumiputera.

“Begitu juga sebelum ini pemberian rumah bumiputera dicemari dengan ketidaktelusan contohnya hanya penyokong parti politik tertentu mendapat rumah manakala mereka yang benar-benar layak tidak mendapatnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE