KMJ itu yang merupakan edisi ke-22 berlangsung dari 20 hingga 22 Julai ini dengan bermula dan tamat di Istana Pasir Pelangi di sini.

Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail berkata, rombongan KMJ ke-22 diketuai Sultan Johor akan menjelajah perjalanan sejauh 686 kilometer.

“Baginda akan menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike sepanjang kembara kali ini dan pada sesetengah destinasi, baginda akan menunggang motosikal kapcai.

“Rombongan dibarisi kerabat Diraja Johor, ketua-ketua jabatan terpilih dan peserta jemputan akan meluangkan masa di setiap destinasi bagi bertemu rakyat dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, hari pertama kembara itu menyaksikan rombongan Diraja bergerak dari Istana Pasir Pelangi menuju Pontian sebelum ke Batu Pahat, Tangkak dan tamat di Muar membabitkan perjalanan sepanjang 240 kilometer.

Pada hari kedua pula katanya, Sultan Ibrahim akan bermula di Istana Muar dan bergerak ke Segamat, Kluang dan Mersing membabitkan perjalanan sejauh 269 kilometer.

“Baginda dan keluarga akan bermalam di Istana Flintstone sebelum pada hari terakhir, bergerak ke Kota Tinggi, Padang Awam Kulai sebelum ke Melita Premium Fresh Pineapple, Ulu Tebrau membabitkan perjalanan sejauh 180 kilometer.

“Rombongan KMJ akan menamatkan rombongan apabila menuju pulang ke Istana Pasir Pelangi pada hari terakhir,” katanya. - UTUSAN ONLINE