Menerusi Facebook rasmi Sultan Johor itu, Baginda memberitahu, jarak perjalanan hampir 700 kilometer (km) pada jelajah KMJ edisi ke-22 kali ini bukan menjadi halangan untuk menemui rakyat di pelbagai kawasan serta mendengar keluhan mereka.

Jelas baginda, walaupun cuaca hujan atau panas, perjalanan akan tetap diteruskan merentasi 10 daerah.

“Saya tidak sabar untuk menemui rakyat dan jika mereka ada apa-apa keluhan untuk disampaikan…, saya sedia mendengar.

“Jika mereka ingin menyampaikan keluhan masing-masing menerusi surat, boleh serahkan surat berkenaan kepada pegawai atau juruiring saya,” demikian menurut Baginda dalam Facebooknya hari ini.

Pada jelajah KMJ 2019 kali ini, Sultan Ibrahim akan menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike.

Baginda akan membaca sendiri setiap surat yang disampaikan rakyat kerana ingin mengetahui apakah keluhan mereka.

“Orang ramai jangan kecil hati jika tidak dapat berswafoto bersama-sama saya di setiap lokasi persinggahan ini kemungkinan disebabkan pergerakan awal bagi meneruskan perjalanan ke lokasi lain,” tulis Baginda lagi. - UTUSAN ONLINE