Bukan sahaja menjadi kawasan pengeluar utama tetapi dilengkapi dengan pembinaan sebuah kilang nanas yang dirasmikan Perdana Menteri Pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1964.

Justeru dengan kemajuan ketika itu, tidak hairanlah ramai penduduk yang datang dari luar untuk bekerja di ladang mahupun di kilang memproses menjadi produk seperti nanas tin.

Rentetan itu banyak terbina rumah dan bangunan yang ketika ini masih lagi kukuh dan menjadi sebahagian sejarah Pekan Nanas yang lebih dikenali sebagai ‘Lembah Nanas’ pada zaman kegemilangannya.

Bagi mengimbas kembali sejarah dan nostalgia Pekan Nanas kira-kira 89 tahun yang lalu, sekumpulan 23 pelukis termasuk 13 daripada The Malaysia Waterco­lour Society (TMWS) berkampung di pekan tersebut baru-baru ini.

Program yang dinamakan Ming­gu Kesenian telah menarik pelukis bukan sahaja dari Johor tetapi Kuala Lumpur bagi menyelami kehidupan masyarakat Pekan Nanas selain melihat rumah dan bangunan lama.

Penyelaras Program, Lee Chin Chan berkata, mereka turut dibawa ke lokasi tumpuan orang ramai seperti warung bagi menikmati teh tarik dan nasi lemak termasuk melihat ladang nanas serta dusun durian.

Katanya, rumah dan ba­ngunan lama yang dilawati kelihatan dalam keadaan kukuh dan masih didiami walaupun sudah berusia le­bih 80 tahun begitu juga dengan ukiran pada besi tingkap dan pintu.

“Seperti mana bandar-bandar yang masih bertahan dengan bangunan lama seperti di Pulau Pinang, Melaka mahupun Muar, Pekan Nanas juga turut mempunyai keunikan yang serupa.

“Ia boleh diangkat sebagai satu lokasi bagi orang ramai mengenali lebih dekat Pekan Nanas yang merupakan bandar yang terletak antara Bandar Pontian dengan Bandar Johor Bahru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Chin Chan berkata, ming­gu ke­senian yang dirancang enam bulan lalu turut mendapat sokongan dan tajaan seba­nyak RM15,000 daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskdandar (IRDA).

Katanya, semua hasil lukisan termasuk yang dilukis atas kertas nanas akan dipamerkan di Galeri Lukisan Sunway Citrine Hub di Iskandar Puteri.

Menurutnya, selain melukis bangunan dan rumah lama, turut dilakukan lukisan mural yang memaparkan kisah hidup penduduk tempatan seperti suasana pagi di pasar dan akti­viti masyarakat yang lain.

“Lukisan mural di kawasan bandar ketika ini menjadi feno­mena kerana mencantik dan me­ngubah suasana sesuatu kawasan yang sebelum ini muram tetapi kini ceria serta indah,” katanya.