Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, perkembangan itu melegakan dan kehadiran pelajar terutama di kawasan terjejas berada pada tahap amat baik walaupun pada awalnya ada ibu bapa yang masih bimbang.

“Saya mendapat laporan awal bahawa kehadiran pelajar di 111 sekolah di sini yang sebelum ini ditutup akibat pencemaran mencapai 90 peratus.

“Laporan kualiti udara daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menunjukkan tahap udara dalam keadaan baik dan bebas pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan dan Pengetua SMK Pasir Gudang 2, Mahidah Kosnan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sebanyak 111 sekolah di sini berkuat kuasa serta-merta pada 13 Mac lalu akibat pencemaran sisa toksik.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah. - UTUSAN ONLINE