Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat juga menggesa kerajaan negeri berhenti daripada beretorik sebaliknya perlu mengambil tindakan segera dalam menangani isu pencemaran di daerah tercemar itu.

Katanya, rakyat berhak mengetahui sebarang usaha yang sudah dilakukan dalam menangani masalah pencemaran termasuk setiap permasalahannya.

“Keputusan segera serta tepat amat diperlukan bagi membolehkan usaha mengatasi dilakukan dengan kadar segera. Kerajaan negeri sewajarnya sentiasa bekerjasama rapat dengan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Ini bagi memastikan kepakaran teknikal mereka diadaptasi semaksima mungkin bagi memastikan kejadian pencemaran dapat dikawal dan tidak sering berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ucapan penggulungan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahrudin Jamal mengenai Cadangan Merangka Pelan Pembangunan Pasir Gudang Yang Lestari sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah pencemaran di kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan Johor di bawah UPEN melancarkan Dasar Kelestarian Negeri Johor pada 2017 meliputi lima Teras Utama iaitu Memulihara Warisan Alam, Gaya Hidup Berhemah, Menghijaukan Ekonomi, Menambah Baik Tadbir Urus serta Memantapkan Masyarakat.

Menurut Ayub, daripada lima teras utama itu, terdapat 38 Sub Teras dan 256 Pelan Tindakan yang boleh dilaksanakan dalam pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, Dasar Kelestarian Negeri Johor juga memfokuskan 11 buah program khusus dan satu daripadanya Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Negeri Johor yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar sebagai Jawatankuasa Induk dan di bawah majlis tersebut terdapat empat Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Exco iaitu Pembangunan, Industri, Kejiranan dan Adaptasi.

Malah menurutnya, Johor merupakan negeri pertama mengemudi Program Masyarakat Rendah Karbon yang mensasarkan penurunan karbon sebanyak 40 peratus di lima buah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Pasir Gudang dan melalui Green Accord Initiative Award (GAIA) Iskandar Malaysia, kerajaan negeri memberi pengiktirafan kepada pemaju, pemain industri dan individu yang terlibat dalam kelestarian alam sekitar.

“Namun sejak Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Johor, semua inisiatif tersebut seolah-olah telah tidak lagi diperlukan dan kenyataan Menteri Besar Johor hari ini membuktikannya.

“Dalam masa sama, saya harapkan kerajaan negeri dapat terus melaksanakan dasar utama, pelan strategik dan pelan tindakan yang telah dirangka oleh kerajaan terdahulu dengan bantuan kepakaran dalam dan di luar negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE