Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse juga belum membentangkan sebarang pelan komprehensif bagi menangani masalah itu.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya sudah sedar dan terbuka minda mereka bahawa isu air di Johor adalah perkara yang memerlukan pelan tindakan yang strategik, radikal dan menyeluruh, bukan semudah dan seringkas apa yang mereka adu domba serta canangkan sebelum ini.

“Inilah masa untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri PH sebenarnya boleh memikirkan alternatif yang lebih baik dan inovatif, bukan sekadar pandai merungut dan menuding jari atas kelemahan orang lain.

“Justeru, saya sangat berharap supaya isu air dapat diselesaikan segera dengan pendekatan terbaik demi kesejahteraan rakyat yang semakin tertekan dengan catuan belakan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Menteri Besar itu berkata, salah satu perkara yang sering dipolitikkan kerajaan negeri PH semasa menjadi pembangkang adalah isu air, setiap kali berlaku gangguan bekalan sama ada disebabkan bencana alam, faktor cuaca atau kerja penyelenggaraan, mereka pantas menyalahkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pada masa itu.

Mereka juga, kata Mohamed Khaled, sering mengatakan kerajaan negeri BN tidak cekap menguruskan air, tidak peka dan prihatin terhadap nasib rakyat, malah sebagai pembangkang ketika itu turut menolak sebarang penerangan serta ajakan untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik dalam pengurusan air.

“Sepanjang awal tahun 2019 sahaja, sudah berlaku beberapa isu pencemaran air yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri sehingga menjejaskan rakyat di beberapa kawasan terlibat antaranya kes pencemaran minyak sawit di Hulu Sungai Johor pada 17 Januari lalu, pada 23 Mac pula, hampir 75,000 penduduk sekitar Simpang Renggam, Ayer Hitam dan Kulai terputus bekalan akibat pencemaran ammonia.

“Pada 3 April, berlaku pencemaran ammonia di Sungai Sayong, Kulai dan memberi kesan lebih sejuta pengguna di sebahagian Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi dan terkini pada 23 April lalu, Loji Rawatan Air Simpang Renggam terpaksa ditutup akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut yang memberi kesan kepada 23,000 pemegang akaun di Simpang Renggam dan Pontian,” katanya. - UTUSAN ONLINE