Nurhidayah Khalid, 29, berkata, dia berasa begitu teruja dan mendapat semangat baharu selepas disahkan oleh doktor pulih daripada penyakit kanser limfoma yang dideritainya pada awal 2018.

“Namun kegembiraan itu hanya sementara dan hanya bertahan selama lapan bulan selepas disahkan penyakit tersebut berulang semula pada Oktober lalu.

“Malah serangan kali ini lebih teruk dan saya disahkan menghidapi kanser limfoma tahap 3B. Bezanya jika dahulu serangan pada bahagian kanan leher, tetapi kali kedua ini di sebelah kiri pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia disahkan menghidapi kanser limfoma pada April 2017 dan telah menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar sebesar 18 sentimeter selain menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 12 sesi berakhir Januari tahun lalu.

Selepas selesai rawatan kimoterapi doktor mengesahkan dia sudah pulih, namun masih berisiko diserang penyakit itu semula buat kali kedua.

“Saya kini mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan doktor mengesyorkan agar saya menjalani kaedah rawatan baharu iaitu penggunaan ubat Keyturda 10MG, namun kos itu sangat tinggi.

“Menurut doktor rawatan tersebut masih baharu, namun rawatan tersebut menunjukkan hasil positif terhadap dua pesakit kanser sebelum ini,” katanya.

Doktor menyarankan agar dia mengambil empat botol ubat tersebut dengan setiap satu berharga RM17,100 dan jumlah keseluruhan mencecah RM68,400 bagi melangkapkan rawatan.

“Saya tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu memandangkan suami saya Mohd. Arif Amat Sabilam, 37, hanya bekerja sebagai pemandu lori.

“Namun saya bernasib baik kerana menerima sumbangan daripada kelab kanser serta individu dan setakat ini jumlah yang dapat dikumpulkan mencecah RM30,000,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh memberikan sumbangan di nombor akaun 1514-182-325-92 Maybank atas nama Nurhidayah Khalid.- UTUSAN ONLINE