Kini batik diterima menjadi sebahagian daripada produk pemakaian antarabangsa selain produk batik dengan nilai tambahnya yang tersendiri.

Bate Qila bertempat di Benut di sini, merupakan pembuatan produk kraf tangan berinovasi alaf baharu dengan diaplikasikan teknik semburan cat untuk memberi nafas baharu dalam olahan corak batik.

Haleda Aqila Nasis, 27, merupakan Pengurus Bate Qila kini boleh berbangga dengan pencapaiannya pada usia muda.

Menurutnya, inovasi batik alaf baharu membuktikan industri batik tidak hanya tertumpu pada pembuatan atas kain serta penggunaan menggunakan lilin.

“Biasa orang sebut kain batik mesti orang ingat batik mesti kain. Tapi pada hari ini apa yang kita nak ketengahkan adalah batik ini amat luas.

“Bila kita sebut batik ada orang kata corak batik, ada orang kata material mesti kain. Tapi hari ini kita nak orang nampak yang batik adalah corak dan kita boleh olah coraknya atas benda yang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, inovasi batik alaf baharu mengaplikasikan dua elemen penting iaitu akrilik dan semburan cat sebagai asas untuk menonjolkannya.

Menurut Haleda Aqila, pi­hak­nya tidak mengenepikan motif flora dan garisan emas yang digunakan pada bahan kain tetapi diolah menggunakan bahan baharu yang dijadikannya sebagai cenderamata.

“Bahan baharu ini tidak mudah pecah, rosak dan mudah bersihkan. Produk ini halus ke­rana kita buat secara manual dan pembuatan tangan secara terbalik, setiap penggunaan warna kami buat ton warna se­perti mana batik kain,” katanya.

Haleda Aqila berkata, setiap hasil produk mampu disiapkan tidak kurang lapan jam bergantung keadaan cuaca manakala lebih 200 semburan cat diperlukan dalam masa sebulan.