Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, sehingga kini terdapat 30 pegawai dan anggota bomba yang ditugaskan di lokasi disyaki berlakunya tumpahan bahan kimia tersebut.

Menurutnya, petugas adalah melibatkan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Forensik dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

“Bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan perkara ini pukul 5.15 pagi dari orang awam yang berada di perumahan berhampiran. Berdasarkan maklumat awal, bahan kimia ini dipercayai dibuang di Sungai Kim Kim.

“Kita masih lagi mengenal pasti jenis bahan kimia yang dibuang, tetapi percaya ia adalah baham mudah terbakar. Forensik juga sudah mengambil sampel air dan tanah di kawasan ini untuk mengetahui jenis bahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Operasi Pembersihan Sungai Kim Kim di sini sebentar tadi.

Yahaya berkata, beberapa peralatan khas bagi menyerap minyak (oil boom) telah diletakkan di sepanjang Sungai Kim Kim untuk mengawal pencemaran itu.

“Kita sudah meletakkan oil boom di beberapa kedudukan sungai yang dipercayai terjejas. Fungsinya adalah untuk menyerap bahan kimia sekali gus mengelakkannya daripada merebak.

“Berdasarkan laporan, kawasan terjejas adalah melibatkan radius 500 meter dari sungai sepanjang kira-kira 1.5 kilometer ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, berkenaan jumlah yang terjejas akibat kejadian itu, beliau memberitahu seramai 20 mangsa terdiri daripada pelajar dan kakitangan dua sekolah di sini, dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

“Setakat ini 11 pelajar sekolah rendah, enam sekolah menengah dan tiga kakitangan sekolah dibawa ke HSI untuk mendapatkan rawatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE