Syarikat itu berkata kira-kira RM3.4 bilion diperuntukan bagi program pengurangan NRW di Johor bagi tempoh tujuh tahun akan datang oleh syarikat pengurusan aset air, Pengurusan Aset Air Sdn Bhd (PAAB) dan Ranhill SAJ, pengendali perkhidmatan air khusus bagi negeri itu.

"Ranhill SAJ akan membayar balik perbelanjaan modal oleh PAAB melalui pengaturan sewaan pajakan dengan syarikat itu.

"Ranhill SAJ memulakan program tersebut untuk menangani dua kerugian utama iaitu dari segi fizikal dan komersial. Hasilnya, negeri akan mendapat manfaat daripada penggantian dan pengubahsuaian paip yang uzur untuk mengatasi kebocoran air di kawasan yang mengalami masalah tekanan air," menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata pihaknya telah menyelesaikan 94 projek pemulihan paip menjelang 2020, malah langkah turut diambil untuk menangani bacaan meter tidak tepat dan penggunaan air secara haram di Johor.- BERNAMA